Insentif Input Pengeluaran Padi memberi manfaat seramai 155,518 pesawah di seluruh negara termasuklah peladang-peladang MADA yang mengeluarkan padi.

 

Insentif tersebut diperkenalkan berikutan Pengubahsuaian Bajet 2016 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri di mana kerajaan telah menetapkan tambahan tunai RM50 bagi setiap 1 tan metrik hasil padi bersih bertujuan bagi membantu para petani menampung kos sara hidup.

 

Kerajaan sentiasa mendengar keluh kesah rakyat, oleh yang demikian, perlaksanaan tambahan tunai RM 50 bagi setiap 1 tan metrik padi bersih dibayar seperti mekanisme program Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) sediada dan telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2016.

 

Peruntukan bagi insentif tersebut berjumlah RM 112 juta bagi tahun 2016 yang mana akan mengguna pakai peruntukan hasil penambahbaikan pengurusan Stokpail Beras Negara.

 

Bagi menghargai peladang-peladang, YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2016 juga telah mengumumkan peningkatan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) sebanyak RM 51.90 menjadikan jumlah keseluruhan SSHP sebanyak RM 300 setan metrik daripada RM248.10.

 

Hasil kepada pertambahan kedua-dua insentif ini pendapatan petani meningkat sebanyak RM 101.90 bagi setiap tan bersih padi yang dihasilkan.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berharap insentif tersebut memberi dan membantu peladang menampung kos sara hidup dan manfaat kepada peladang-peladang MADA .

 

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada peladang-peladang MADA terus bertekad dan berusaha yang terbaik untuk menghasilkan hasil padi yang tinggi dan berkualiti melebihi 7 tan sehektar pada tahun 2016 sehingga dapat mencapai pendapatan purata RM 48 000 setahun menjelang tahun 2020.

 

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Insentif Input Padi di PPK H-II Kepala Batas pada 5 Mac 2016.

 

MADA dan kepimpinan peladang telah bersetuju Jadual Penanaman Padi dan Bekalan Air permulaan musim 1/2016 pada 30 Mac 2016 dengan tarikh akhir menabur pada 4 Mei 2016 bagi Fasa I. Bagi fasa II bekalan air akan dimulakan pada 9 April 2016 dan 19 April bagi fasa III bertujuan membolehkan penuaian padi musim ini dapat diselesaikan sebelum penghujung bulan Ogos 2016 bagi mengelakkan keadaan cuaca hujan dan berangin yang dijangka berlaku pada awal September 2016.

 

Kehilangan hasil lepas tuai adalah merupakan antara faktor utama yang menyebabkan kekurangan hasil padi. Mengikut kajian kehilangan hasil padi pihak MARDI, kehilangan lepas tuai adalah sebanyak 28.5%. Oleh itu, pihak MADA mengambil inisiatif untuk menjalankan kempen peningkatan kualiti hasil padi dengan memfokuskan kepada kaedah penuaian mengikut berat (tan).

 

Bagi memastikan MADA dan peladang dapat mencapai sasaran 7 tan sehektar tahun ini, peladang haruslah mempunyai disiplin yang tinggi dalam mematuhi jadual tanaman, penggunaan benih padi sah dan berkualiti, kawalan penyakit dan perosak melalui amalan pertanian baik dengan penggunaan input pertanian yang bersesuaian dan kawalan semasa proses penuaian.

Comments are closed.