ALOR SETAR, 22 Okt (Bernama) — Semua perkara yang dibentangkan dalam Bajet 2017 akan dilaksanakan kerajaan dan bukan sekadar sembang ‘kedai kopi’, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz. Othman berkata dakwaan pihak tertentu yang menyatakan kerajaan tidak mampu untuk melaksanakan Bajet2017 berikutan negara akan bankrap adalah tidak benar.

“Saya ingin tegaskan, apa yang dibentangkan dalam Parlimen semalam akan dilaksanakan kerajaan setelah semua aspek diteliti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di sini, hari ini.

Sementara itu, Othman menolak dakwaan bahawa Kedah tidak menerima apa-apa peruntukan dalam pembentangan Bajet 2017.

“Dakwaan itu tidak benar kerana Kedah ada menerima peruntukan tetapi tidak diumumkan secara terbuka kerana ia akan disalurkan melalui kementerian-kementerian.

“Maklumat terperinci mengenai bajet akan dikupas dalam tempoh seminggu ini cuma kita tidak tahu kecil atau besar peruntukan yang kita akan dapat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata MADA menyambut baik keputusan kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion untuk subsidi harga padi, benih padi, baja padi dan termasuk padi bukit.

“Industri padi negara sememangnya memerlukan subsidi dan apabila dikekalkan ia menunjukkan bahawa kerajaan sangat mementingkan industri padi yang menjadi jaminan bekalan makanan negara,” katanya.

SUMBER : BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1294661

Comments are closed.