KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) — Sebanyak RM10 bilion subsidi diperuntukkan dalam Bajet 2017 bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini berkata peruntukan subsidi tersebut merangkumi subsidi bahan api termasuk gas memasak, pampasan tol dan pengangkutan awam.

“Untuk membantu golongan pesawah padi pula, kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion untuk subsidi harga padi, benih padi dan baja padi, termasuk padi bukit,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai insentif kepada pekebun kecil getah yang berdaftar, kerajaan memperuntukkan RM250 juta untuk pelaksanaan pembelian ‘harga lantai’.

Sebagai langkah tambahan katanya, Bajet 2017 memperkenalkan Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM200 sebulan bagi tiga bulan pada November, Disember dan Januari kepada 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah.

“Selanjutnya, bagi meringankan beban sara hidup 57,000 nelayan, pemberian elaun RM200 hingga RM300 sebulan akan diteruskan,” katanya.

 

SUMBER : BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1294395

Comments are closed.