Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan nilai jualan usahawan di bawah bimbingan agensi tersebut sebanyak RM 130 juta.

 

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata ia merupakan sasaran bagi Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA selain melahirkan tambahan usahawan MADA seramai 2,650 orang bagi tahun 2016.

 

Katanya, sasaran bilangan usahawan pada tahun 2015 adalah seramai 2,600 orang di mana pencapaian tahun tersebut adalah 2,602 orang (100%) manakala sasaran nilai jualan usahawan adalah sebanyak RM120 juta, di mana pencapaian adalah sebanyak RM122 juta (101%).

 

Tambah beliau, bagi bilangan sasaran outlet pemasaran produk hingga tahun 2015 adalah sebanyak sebelas (11) buah manakala pencapaiannya adalah sebanyak 12 buah dengan nilai jualan sebanyak RM3.7 juta.

 

Sementara itu, dalam pencapaian penubuhan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) adalah sebanyak 2 buah iaitu di PPK D-III, Titi Haji Idris dan PPK A-II, Kodiang dan pada tahun ini MADA menyasarkan bilangan outlet Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) ditingkatkan kepada 10 buah bagi menambahkan saluran pemasaran dan membolehkan pengguna mendapat harga berpatutan.

 

Dato` Othman menjelaskan Konsep ABR1M merupakan sebuah premis perniagaan sedia ada milik Agensi Pertubuhan / Persatuan di bawah naungan Agensi MOA. Usahawan yang menjalankan perniagaan menjual 40 peratus barangan segar dari ladang serta laut dan 60 peratus barangan industry asas tani dengan produk tempatan secara runcit dengan menawarkan harga berpatutan, menampilkan imej yang menarik, tersusun, kemas dan seragam di seluruh negara.

 

Katanya, ia diwujudkan untuk membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat kesan dan kenaikan harga barangan keperluan harian pengguna di mana ia menawarkan harga 5 hingga 20% lebih rendah daripada harga pasaran.

 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Karnival IAT MOA pada 27 April 2016 di Dataran Darulaman, Bandar Darulaman, Jitra.

 

Dalam majlis tersebut beliau menyampaikan Bantuan Geran ABR1M kepada tiga (3) orang penerima melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM 234,300 dan juga Geran Bantuan Projek Jerami Padi kepada 2 buah PPK (PPK B-II Sanglang dan PPK H-II Kepala Batas) yang terlibat melibatkan nilai kontrak sebanyak RM 443,500 di bawah RMK 11.

 

Beliau berharap dengan adanya bantuan-bantuan ini akan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat khususnya peladang-peladang di Kawasan Muda.

 

Program Karnival IAT MOA ini pada dasarnya adalah bertujuan untuk menghimpunkan para usahawan bagi mempromosi serta mewujudkan rangkaian pemasaran melalui pemadanan perniagaan dan seterusnya memasarkan produk-produk mereka.

 

Industri perniagaan secara umumnya mempunyai cabaran dan risikonya. Walau bagaimanapun, ia dapat ditangani jika kita mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kerajaan seperti MADA, FAMA, TEKUN dan sebagainya yang akan sentiasa memberi bantuan dan khidmat sokongan.

Comments are closed.