ALOR SETAR, 19 Ogos (Bernama) — Kerajaan komited untuk memastikan infrastruktur pertanian khususnya bagi tanaman padi berada dalam keadaan terbaik bagi meningkatkan lagi hasil petani.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata komitmen itu dapat dilihat melalui peruntukan RM2.7 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), dengan RM2.2 bilion daripadanya digunakan untuk membangunkan beberapa infrastruktur pertanian padi.

“Infrastruktur berkenaan termasuklah pembinaan sistem pengairan yang lancar untuk penanaman padi,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Kuala Kedah di sini, Jumaat.

Beliau berkata infrastruktur baik membolehkan kadar hasil meningkat seperti yang dinikmati Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang memperoleh pengeluaran padi sebanyak 6.2 tan metrik setiap hektar.

Menurutnya sasaran memperoleh pengeluaran padi sehingga 10 tan metrik setiap hektar mampu dicapai sekiranya infrastruktur berada dalam keadaan terbaik.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata bekalan daging lembu dan kambing tempatan mencukupi untuk menampung permintaan tinggi orang ramai menjelang Aidiladha bulan depan.

“Sekiranya permintaan terlalu tinggi dan bekalan daging tempatan tidak mencukupi, kita akan mengimport bekalan daging dari luar,” katanya.

 

13938603_969575589808058_5090053684740351872_n13962746_969575446474739_2146053884067930656_n13900110_969575676474716_5239891958952709180_n

 

 

 

 

 

SUMBER : BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1274887

Comments are closed.