Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan mula membekalkan air kepada peladang-peladang di Kawasan Muda pada penghujung bulan Mac iaitu 30 Mac 2016 bagi penanaman padi Musim 1/2016.

Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata pihak MADA mengambil kira beberapa faktor dalam menetapkan Jadual Penanaman Padi antaranya kedudukan takungan air empangan sebelum musim bermula, ramalan sumber air sepanjang tahun (aliran masuk ke takungan empangan, aliran sungai, turunan hujan di kawasan sawah dan guna semula aliran), ramalan pencapaian aktiviti penuaian bagi musim yang lepas, cuaca – El Nino, kerja-kerja pemulihan empangan pedu, masalah semasa yang dihadapi seperti penyakit dan perosak.

Tambah beliau, semua peladang tidak perlu bimbang berikutan fenomena El Nino kerana takungan air di empangan pada ketika ini adalah mencukupi bagi menjayakan aktiviti penanaman padi musim 2/2016.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Jadual Penanaman Padi Musim 1/2016 pada 21 Februari 2016 bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

Dalam pada itu, Dato` Othman juga menyatakan sebanyak 95.3% tanaman padi di Kawasan Muda telah masak dan sebanyak 83.2% telah dituai.

Katanya lagi, purata hasil pengeluaran padi bagi musim 2/2015 adalah sebanyak 6.5 tan per hektar bagi keseluruhan MADA termasuklah kawasan pinggiran MADA yang telah diambil alih oleh MADA tahun lalu juga mencapai hasil pengeluaran padi sebanyak 6 tan per hektar.

Dato` Othman dan pihak MADA berharap semua peladang dapat mengikuti Jadual Penanaman Padi Musim 1/2016 yang telah ditetapkan serta berdisiplin dan berhemah dalam menggunakan air pengairan bagi aktiviti penanaman padi.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Pengurus Besar MADA, Encik Fouzi bin Ali, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) MADA, Dato` Ir. Hor Tek Lip, Pengarah-pengarah MADA dan Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan MADA serta Pengerusi Biro Pengairan PPK.

Comments are closed.