ALOR SETAR, 17 JANUARI – Jentuai mini atau jentera menuai padi bersaiz sederhana bakal menjanjikan lebihan dan meningkatkan pendapatan kepada peladang-peladang di Kawasan Muda.

Jurucakap Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berkata beberapa peladang sudah mencuba dan menggunakan jentuai tersebut bagi penuaian hasil padi Musim 2/2016 dan hasil daripada penggunaan jentuai tersebut membolehkan peladang-peladang terlibat memperolehi potongan padi yang lebih rendah sekitar 18%.

Dengan penggunaan jentuai tersebut, ia juga dapat mengasingkan padi dan tangkai padi dengan sempurna dan ia membolehkan peladang menerima potongan padi dengan kadar yang rendah.

Jentuai ini juga direkabentuk khas untuk padi dan mempunyai ciri tekanan sentuhan yang lebih rendah kepada permukaan tanah berbanding dengan jentuai yang menggunakan steel track seperti yang biasa digunakan di Kawasan Muda sekarang.

Ia sememangnya membantu tanah sawah padi tidak jerlus sepertimana sebelum ini kebanyakkan peladang menggunakan mesin penuaian padi yang besar yang mengakibatkan tanah sawah padi bermasalah.

Jentuai mini jenis ‘rubber track’ yang telah berada di pasaran adalah sesuai untuk diperkenalkan memandangkan beratnya dapat mengelakkan kerosakan tanah (3 hingga 5 tan).

Jurucakap MADA berkata lagi, penggunaan jentuai yang sediaada di Kawasan Muda sekarang secara tidak langsung telah memberi kesan kepada kerosakan tanah (hardpan) disebabkan penggunaan jentuai yang berat (10 hingga 15 tan).

Oleh yang demkian, MADA mengambil inisiatif memperkenalkan jentuai mini atau jentera menuai bersaiz sederhana khususnya dalam penuaian padi. Walaubagaimanapun, pihak MADA akan bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan pemberi perkhidmatan jentuai mini tempatan untuk membuat kajian lanjut berkenaan jentuai tersebut sebelum pengesyoran dibuat secara menyeluruh di Kawasan Muda terutama kawasan Projek Estet Padi di bawah Program NKEA Pertanian EPP10 yang sehingga kini berkeluasan 30,000 hektar. Kajian ini dijangka bermula pada Musim 1/2017 ini yang akan bermula pada penghujung Mac 2017.

Comments are closed.