IAT BIZ yang dilancarkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berperanan sebagai One Stop Center dalam mengumpul, mempromosi, memperkenal dan memasarkan produk-produk usahawan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain menjadi platform yang berfungsi untuk menyalurkan maklumat kepada pelanggan dan menjalankan pemadanan perniagaan (business matching).

 Pengerusi MADA, Dato` Othman bin Haji Aziz berkata pusat pengumpulan dan pemasaran produk yang dikendalikan oleh MADA itu bukan sahaja menyediakan ruang pemasaran yang lebih komprehensif dalam usaha melonjakkan nilai jualan dan pendapatan usahawan malah ia menjadi pusat tarikan pelancongan (tourist center) yang berasaskan produk industri asas tani dan pemprosesan pertanian (cenderamata).

 Tambah beliau, pusat pengumpulan dan pemasaran ini disasar memberi pulangan sebanyak RM 1.606 juta dalam tempoh lima tahun operasi.

Katanya, matlamat utama MADA adalah untuk memajukan kesejahteraan hidup sebilangan besar penduduk desa dan melebihkan hasil untuk keperluan negara.

Di antara usaha bagi memajukan kesejahteraan hidup penduduk desa ini adalah melalui pembangunan usahawan tani. Ia adalah sejajar dengan hasrat kerajaan ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 iaitu pendapatan perkapita sebanyak RM 48,000 setahun di mana 90% disumbangkan daripada sektor padi manakala 10% adalah melalui sektor industri asas tani dan bukan padi.

Di antara skop pembangunan usahawan tani adalah program pembangunan usahawan yang merangkumi pengeluaran dan pemasaran produk.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya dalam Majlis Pra Pelancaran IAT Biz di Menara Peladang pada 5 Jun 2016 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah, Dato` Suraya binti Yaacob.

Sehingga kini, terdapat seramai 2,524 orang usahawan tani di bawah bimbingan MADA yang memasarkan produk melalui Pusat Pengumpulan MADA dan juga pemasaran secara individu.

Jumlah terkumpul usahawan di bawah bimbingan MADA dari tahun 2010 hingga tahun 2014 adalah sebanyak 2,524 orang. Jumlah nilai jualan terkumpul bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM 383.48 juta.

Produk-produk yang dihasilkan oleh usahawan dipasarkan melalui pusat pengumpulan produk dan sebahagiannya dijual secara terus oleh usahawan ke saluran-saluran pasaran lain. Nilai jualan produk usahawan bimbingan MADA di seluruh negeri Kedah dan Perlis bagi tahun 2014 berjumlah RM 112.81 juta.  Sebanyak RM 3.94 juta adalah jualan melalui PMS manakala RM 108.87 juta adalah pemasaran secara terus oleh usahawan kepada pembeli dan saluran pasaran yang lain.

Comments are closed.