JITRA, 27 April (Bernama) — Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Othman Aziz hari ini menasihatkan petani agar mematuhi jadual penanaman padi ditetapkan MADA, bagi mengurangkan risiko padi tidak menjadi atau diserang penyakit.

Katanya, MADA telah mula membekalkan air sejak 30 Mac lalu, melalui tiga fasa yang ditetapkan, iaitu 30 Mac, 9 April dan 19 April, dan kegagalan petani mengikut jadual ditetapkan akan mengakibatkan terjadinya kes penanaman dan penuaian padi tidak serentak.

Beliau menasihatkan demikian selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini hari ini.

Dalam pada itu, Othman berkata MADA menyambut baik cadangan pembinaan Empangan Nauk di negeri ini yang diumumkan Menteri Besar Kedah, kerana ia mampu membantu MADA membekalkan air di kawasan MADA, selain mengelak catuan air pada masa hadapan.

“Kebelakangan ini kita kena melihat secara holistik kita banyak membazirkan air jadi Empangan Nauk ini, dari Sungai Muda boleh salirkan kepada kawasan Timur Kedah untuk dijadikan bekalan untuk tanaman padi.

“Sebab MADA telah ambil alih kawasan pinggiran MADA, kalau di Kedah bermula dengan 3,500 hektar.

“Kita sendiri menghadapi masalah untuk menyalurkan air kerana infrastruktur tidak cukup,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MADA menyasarkan 10 outlet Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) tahun ini bagi menambah saluran pemasaran dan membolehkan pengguna mendapat harga berpatutan.

Terdahulu, Othman menyampaikan bantuan geran ABR1M kepada tiga penerima melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM234,000 dan Geran Bantuan Jerami Padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sanglang dan Kepala Batas melibatkan nilai kontrak RM443,500.

SUMBER : BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1240072

Comments are closed.