PETALING JAYA, 19 Mei (Bernama) — Program Pertanian Bandar bukan sahaja dapat meringankan kos sara hidup, malah mampu mengeratkan perpaduan di antara komuniti setempat, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata program pertanian itu yang berjaya dilaksanakan di sesebuah kawasan boleh dilihat berdasarkan kepada keupayaan kepimpinan dan kemuafakatan sesama komuniti di kawasan tersebut.

“Pertamanya, dengan menuai hasil daripada tanaman yang ditanam sendiri, mereka dapat kurangkan kos sara hidup dan keduanya ia dilihat sebagai projek perpaduan kerana memerlukan kerjasama komuniti dan pembangunan kepimpinan yang baik untuk menjayakannya.

“Kalau komuniti itu dia berbalah sesama sendiri, jiran bergaduh sesama sendiri, tidak mungkin kita boleh buat projek seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Program Pertanian Bandar di Kampung Lindungan PJS 9/4E, di sini hari ini.

Seramai 120 peserta komuniti kawasan itu menyertai program pertanian ini dengan bimbingan daripada beberapa pihak termasuk Jabatan Pertanian Selangor dan Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kelana Jaya.

Seramai 38,506 peserta seluruh negara terlibat di dalam program ini sejak perlaksanaannya pada 2014 sehingga Mac lepas, melibatkan sebanyak 1,374 lokasi projek dengan peruntukan RM5 juta.

Ahmad Shabery berkata, setakat ini, Selangor melaksanakan sebanyak 115 projek pertanian itu dengan penglibatan seramai 4,561 peserta.

“Pada tahun ini juga, kita akan memulakan juga projek perintis iaitu pertandingan di antara komuniti yang melaksanakan Pertanian Bandar ini.

“Kita akan mulakan di Lembah Kelang dahulu dan kemudiannya jika sesuai kita akan adakan pertandingan antara komuniti dari seluruh negara,” katanya.

SUMBER : BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1247419

Comments are closed.